lambat pancut, tahan lama & lambat keluar air mani

Sunday 29 June 2014

KILANG SPERMA TIDAK BERFUNGSI (SAKIT TUAN)


Jika tahap hormon FSH melambung dua hingga tiga kali ganda, ini petanda kilang buah zakar tidak berfungsi dengan baik

SAYA dua kali pergi ke LPPKN untuk membuat ujian dan keputusan mendapati tiada sperma langsung. Pegawai perubatan mengatakan, mungkin saluran sperma tersumbat atau kilang sperma tidak berfungsi.

Saya disaran merujuk ke bahagian urologi dan sampel darah diambil untuk pemeriksaan lanjut.

Di LPPKN, mereka mengatakan jumlah air mani dikeluarkan tidak banyak, tetapi jumlah ketika bersama isteri lebih banyak daripada yang saya keluarkan di LPPKN.

Apakah punca ketiadaan sperma di dalam air mani dan langkah yang perlu saya ambil untuk mengatasi masalah ini? Untuk pengetahuan, saya berkahwin setahun lalu dan belum ada anak.

WAFY
Jitra, Kedah


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

ANDA menjalani pemeriksaan awal fertiliti dengan pasangan dan diberitahu air mani tiada sperma. Situasi ini dikenali sebagai Azoospermia.

Biasanya, doktor akan memeriksa kedua-dua buah zakar untuk menyukat isi padu selain semua bahagian untuk mengesan jika ada ketulan atau kebengkakan salur vena.

Jika isi padu air mani kurang satu mililiter setiap kali menjalani ujian air mani, doktor akan jadualkan pemeriksaan imbasan atau ‘scanning’ di kawasan pundi prostat untuk mengesan jika wujud kesempitan sistem ejakulatori.

Jika isi padu buah zakar normal dan tiada sekatan di kawasan prostat, doktor akan lakukan biopsi ke atas kedua-dua buah zakar.

Untuk tujuan itu, sedikit tisu dari kedua-dua buah zakar diambil untuk diteliti jika kilang sperma anda normal atau sebaliknya.

Sebelum melakukan prosedur pembedahan biopsi, doktor menyukat hormon FSH dan hormon testosterone anda untuk mengesan jika tahap kedua-dua hormon itu normal atau sebaliknya.

Jika tahap hormon FSH melambung dua hingga tiga kali ganda, ini petanda kilang buah zakar anda tidak berfungsi dengan baik.

Keadaan ini dikenali sebagai ‘Testicular Failure’. Kini dengan pendekatan terbaru tentang kesuburan lelaki, prosedur seperti MESA atau TESA menggunakan jarum khusus untuk menyedut keluar cecair dari buah zakar atau pundi epididimis boleh dilakukan bagi mengesan sperma jika ada dan menyimpan sperma (melalui sperm storage) untuk prosedur ICSI (menyuntik sperma ke dalam telur isteri untuk mendapat embrio).

Prosedur ini memerlukan kecekapan serta penelitian dan bukan sebarangan ahli urologis dapat melakukannya.

Anda boleh rujuk kepada mana-mana pusat fertiliti berdekatan untuk mendapat nasihat dan maklumat mengenai kos dan peratusan hasil prosedur ICSI pusat fertiliti sebelum anda dan pasangan menjalani prosedur.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

 Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Wednesday 25 June 2014

DUA BULAN KAHWIN MASIH DARA (SAKIT TUAN)


Mati pucuk ada kaitan dengan kelemahan otot kemut dan pelancaran darah ke dalam liang otot zakar yang membuatkan ereksi tak berdaya

SAYA berkahwin dua bulan namun masih dara. Pada malam pertama, suami ingin melakukan hubungan kelamin tetapi kemaluannya tidak naik dan lembik sehingga sekarang.

Ia berlaku setiap kali kami ingin bersetubuh dan keadaan ini mengecewakan saya.

Untuk pengetahuan doktor, sebelum berkahwin, suami saya kuat onani. Adakah kemaluannya bermasalah disebabkan selalu onani? Adakah kemungkinan perbuatan itu penyebab mati pucuk?

MELISSA
Batu Pahat, Johor


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

CERITA anda sangat menyedihkan. Dalam keadaan sebegitu, memang anda rasa serba salah dan tak tahu nak buat apa. Suami terangsang tapi anggota kelaminnya tidak tegang.

Jika dipegang rasa pejal dan kelihatan membesar tapi tak sekeras seperti diinginkan. Jika cuba melakukan tusukan, anggota kelamin akan membengkok dan hujungnya tersempal ke bahagian antara dua bibir anggota kelamin anda.

Memang dia mengalami ‘mati pucuk’, ibarat pucuk yang lembut tak menjadi dahan yang keras. Dalam erti kata lain, zakarnya tak mengeras secukupnya untuk melakukan penetrasi faraj.

Ini ada kaitan dengan kelemahan otot kemut dan pelancaran darah ke dalam liang otot zakarnya yang membuatkan ereksi tak berdaya. Jika situasi ini berlaku kepadanya pada malam pertama, ia dikenali sebagai mati pucuk malam pertama.

Dia perlu jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan sewajar. Jika tak dapat menyelesaikan masalahnya, doktor itu akan merujuk kes kepada pakar.

Jika anda dan suami tinggal berdekatan, anda boleh menghubungi saya melalui e-mel dr_tambi@yahoo.com untuk rujukan profesional.

Perlu diketahui masalah mati pucuk ada penawar yang berkesan. Elak mengambil ubat kuat, kopi atau bahan makanan yang biasa dikaitkan dengan kemampuan menguatkan syahwat lelaki.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Saturday 21 June 2014

GADIS HAMPIR 2 TAHUN TAK DATANG HAID (SAKIT PUAN)

Estrogen membentuk lapisan haid (endometrium) manakala progesteron pula mematangkan lapisan itu

SAYA berusia 19 tahun dan mengalami masalah haid. Saya masih bujang, tidak pernah melakukan hubungan kelamin serta mempunyai bacaan indeks jisim tubuh (BMI) berat badan berlebihan.

Saya tidak datang haid sejak pertengahan 2012 dan pelbagai cara dilakukan untuk merawat masalah ini dari segi tradisional hinggalah bertemu pakar perubatan. Namun jawapan yang diberikan ketika itu hanyalah hormon tidak stabil dan tiada sebarang ubat diberikan.

Sehingga Mei 2014, saya masih tidak didatangi haid. Sejak akhir-akhir ini, bahagian ari-ari terasa sakit dan faraj mengalami kegatalan yang keterlaluan.

Apakah yang harus saya lakukan kerana saya takut ia akan memberi kesan pada masa depan? Saya agak buntu untuk menyelesaikan masalah ini.

Wa,
Perlis


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

KITARAN HAID lazimnya dikawal dua hormon utama dari ovari iaitu estrogen dan progesteron. Estrogen membentuk lapisan haid (endometrium) manakala progesteron pula mematangkan lapisan itu. Pematangan ini penting untuk menurunkan haid sekiranya telur tidak disenyawakan oleh sperma.

Wanita yang mempunyai masalah kesuburan ovari tidak menghasilkan telur matang. Ini menyebabkan kurang penghasilan hormon estrogen dan tiada pula penghasilan hormon progesteron oleh ovari. Inilah yang diterangkan kepada anda sebelum ini.

Bagi kes seperti anda, pemberian ubat mengandungi hormon menyerupai progesteron dapat menurunkan haid. Bagi wanita yang ketiadaan pengeluaran telur, ia akan kelihatan seolah-olah wanita itu terpaksa bergantung kepada pil hormon ini untuk menurunkan haid.

Rawatan asas adalah untuk membesarkan telur supaya ia boleh matang dan keluar (ovulasi) bagi melengkapkan kitaran haid. Bagi kumpulan wanita yang menginginkan anak, pemberian ubat subur dalam jenis dan dos bersesuaian dapat menjayakannya. Tetapi ubat ini mungkin kurang sesuai untuk wanita yang belum berkahwin.

Satu lagi cara adalah menurunkan berat badan. Walaupun sukar diamalkan, menurunkan berat badan kepada tahap ideal lazimnya dapat mengembalikan ovulasi dan seterusnya mengembalikan aturan kitaran haid wanita. Buat permulaan, anda boleh mencuba menurunkan sebanyak lima peratus saja daripada berat badan sekarang. Ini kerana, dalam sekumpulan kecil kes, menurunkan berat badan sekecil ini dapat mengembalikan kitaran haid dan seterusnya kesuburan.

Anda juga mungkin mengalami jangkitan kemaluan yang lazimnya berada di dalam faraj. Ia mudah dirawat. Bagaimanapun, bagi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan, jangkitan ini lebih mudah berlaku.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Tuesday 17 June 2014

DARAH KELUAR SEDIKIT LEPAS BUKA IUCD (SAKIT PUAN)


Satu daripada punca haid sedikit-sedikit disebabkan oleh pembentukan tisu melekat seperti sesawang dalam ruang rahim

SAYA baru dua bulan membuka IUCD untuk kali kedua dan hendak menukar yang baru. Namun, doktor yang hendak memasang IUCD terbabit tidak dapat memasangnya kerana alat berkenaan tidak dapat masuk hingga ke dalam.

Untuk pengetahuan doktor, semasa saya memakai IUCD, haid saya memang teratur dan darah keluar banyak seperti biasa. Masalahnya kini, darah keluar tepat pada tarikhnya tetapi keluar sehari saja selepas saya membuka IUCD. Begitu juga dengan bulan kedua, hanya keluar sehari saja.

Saya ingin tahu adakah ia kesan daripada IUCD berkenaan? Apakah kesannya jika haid datang dengan keadaan sedemikian? Saya risau darah kotor berkumpul dan muncul pula penyakit lain. Semoga doktor dapat memberi pandangan.

Faizah,
Sungai Petani, Kedah


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

LAZIMNYA, IUCD (kini lebih dikenali sebagai IUD) baru akan dipasang pada hari yang sama selepas IUD yang lama dikeluarkan. Apakah sebabnya anda menjarakkan dua bulan sebelum meneruskan IUD ketiga?

Pernahkah anda menjalani prosedur cucian D&C? Adakah haid anda kini disertai sakit? Bagaimanakah haid anda sebelum memakai IUD?

Haid yang sedikit-sedikit dinamakan oligomenorea. Ada beberapa punca, satu daripadanya disebabkan oleh pembentukan tisu melekat seperti sesawang dalam ruang rahim. Keadaan ini dirawat dengan memasukkan IUD dan mengambil pil berhormon khusus.

Anda dinasihatkan berjumpa pakar sakit puan berdekatan. Imbasan ultrabunyi dapat mengukur ketebalan lapisan haid serta pada masa sama, menilai keadaan lain pada rahim serta ovari. Doktor juga mungkin menasihati anda menjalani prosedur pembedahan kecil dinamakan histeroskopi bagi melihat keadaan ruang dalam rahim dan juga melakukan prosedur rawatan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

 Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Saturday 14 June 2014

BIMBANG MASALAH KEPUTIHAN TERUK (SAKIT PUAN)


KETUAT KEMALUAN adalah sejenis penyakit jangkitan seksual yang disebabkan oleh virus papilloma (HPV) jenis tertentu

SAYA berumur 22 tahun dan belum berkahwin. Tetapi dulu pernah terbabit dalam aktiviti seks bebas dan kini saya sungguh menyesal dan meninggalkan perbuatan itu.

Masalahnya kini saya mengalami keputihan yang teruk iaitu sentiasa keluar cecair berwarna putih pekat dan berbau. Adakah saya dijangkiti kuman di bahagian faraj?

Selain itu, saya dapati pada faraj saya tumbuh seperti ketuat. Menerusi pembacaan di Internet, ia ketuat kelamin. Saya masih belum mendapatkan pengesahan doktor sehingga kini.

Adakah sebarang rawatan untuk ketuat kelamin? Adakah ia boleh diubati tanpa berjumpa doktor sakit puan? Berapakah kos untuk membuang ketuat kelamin? Adakah ia berbahaya dan akan hilang sendiri secara semula jadi?

Gadis menyesal,
Negeri Sembilan


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

KETUAT KEMALUAN adalah sejenis penyakit jangkitan seksual yang disebabkan oleh virus papilloma (HPV) jenis tertentu. Kos membuangnya bergantung kepada banyaknya ketuat berkenaan. Ada yang hanya memerlukan sapuan krim antiketuat yang boleh dilakukan sendiri. Ada juga yang memerlukan prosedur pembedahan kecil.

Ketuat kemaluan tidak berbahaya tetapi ada jenis HPV tertentu lain yang membawa risiko lebih tinggi penyakit serviks yang dinamakan CIN yang seterusnya boleh membawa kepada kanser serviks. Anda disarankan menjalani ujian Pap smear dan ujian pengesanan kuman HPV.

Selain itu, eloklah juga anda menjalani ujian pengesanan penyakit jangkitan seksual yang lain seperti chlamydia, gonorea, herpes simplex, HIV dan seumpamanya. Ia kebiasaannya secara ujian darah dan palitan pada faraj dan serviks.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

 Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Friday 13 June 2014

URAT BERSIMPUL KURANG SUBUR (SAKIT TUAN)

 
Varikosel biasanya berlaku kepada 15 peratus lelaki, manakala 40 peratus daripada lelaki berkenaan dikenal pasti mengalami masalah kesuburan.


URAT BERSIMPUL pada kantung testis antara masalah yang sering dialami golongan lelaki. Bagi yang peka dan selalu memeriksa alat sulit sendiri, anda akan perasan mengenai gejala itu jika ia berlaku terhadap anda.

Menurut istilah perubatan, keadaan urat bersimpul dan kadangkala kelihatan seperti longgokan cacing itu dikenali sebagai varikosel.

Varikosel ialah pembuluh darah ven yang berpintal dan mengembang di dalam kerandut buah zakar. Ia dapat dirasa seperti ‘cacing dalam kantung’ atau kelihatan seperti urat timbul dan bersimpul.

Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

Ia sebenarnya ven yang menyalurkan darah keluar daripada testis, yang kebetulan mengembang dan menyebabkan darah mendap.

Akibat daripada kemendapan darah itu, bahan tidak sihat seperti sisa metabolisme kilang buah zakar yang terkandung dalam darah mendap itu diserap ke dalam testis dan boleh mengganggu fungsi testis berkenaan.

Suasana panas daripada varikosel boleh membuatkan kilang sperma tergendala dan sperma menjadi lemah. Senario ketara boleh berlaku apabila kedua-dua faktor negatif tadi menyebabkan mereka yang mengalaminya menjadi kurang subur.

Varikosel biasanya berlaku kepada 15 peratus lelaki, manakala 40 peratus daripada lelaki berkenaan dikenal pasti mengalami masalah kesuburan.

Ia biasa berlaku kepada buah zakar di sebelah kiri. Varikosel yang ‘ringan’ iaitu pembuluh darah ven yang kembang sedikit tidak memberi apa-apa kesan kepada kilang sperma.

Apabila ia kelihatan berurat-urat seperti ‘cacing dalam kantung’, kemungkinan ia boleh menjejaskan kesuburan lelaki.

Mana-mana lelaki yang berkahwin tetapi belum dapat menghamilkan pasangannya, perlu menjalani ujian air mani untuk mengenal pasti kedudukan profil sperma, sama ada normal atau sebaliknya.

Jika profil sperma tidak normal, doktor akan mencadangkan prosedur untuk mengatasi masalah ven iaitu melalui pembedahan mengikat ven atau menyuntik ubat untuk menutup ven supaya darah tidak lagi mendap.

Bagaimanapun, prosedur itu tidak memberi peratusan tinggi dalam pemulihan dikehendaki iaitu pemulihan kurang 50 peratus.

Sebilangan pakar pula tidak lagi mengesyorkan pembedahan berkenaan kerana kesan sampingan yang boleh berlaku seperti kerosakan buah zakar, jangkitan dan hidrosel.

Bagaimanapun, masalah varikosel dikendalikan mengikut kes. Bagi individu belum berkahwin, jika anda mengenal pasti segumpal urat yang kelihatan di kerandut zakar, ia belum membuktikan anda mengalami varikosel.

Tapi, jika anda dikenal pasti menghidapinya, tidak ada cara untuk mengubatinya. Pada pandangan saya, ia bukan masalah besar dan terjadi secara kebetulan.

Namun, jika sudah berkahwin dan kebetulan belum dapat menghamilkan isteri, mungkin ia menjadi isu atau masalah bagi mendapatkan zuriat jika ujian sperma anda bermasalah.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Wednesday 11 June 2014

KEMBUNG PERUT KETIKA EREKSI (SAKIT TUAN)


Pergerakan badan dan otot boleh membuatkan pergerakan usus menjadi ketara sehingga terasa senak dan tidak selesa

SUAMI saya menghadapi masalah kembung perut dan senak ketika ingin bersama terutama apabila alat kelaminnya hendak menegang. Apakah punca masalah itu dan adakah ia memudaratkan.

Zaleha
Jengka, Pahang


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

PERASAAN teruja seseorang lelaki berlaku apabila mahu melakukan hubungan intim dengan isteri yang menyaksikan perubahan berlaku pada badannya.

Pergerakan badan dan otot boleh membuatkan pergerakan usus menjadi ketara sehingga terasa senak dan tidak selesa jika lelaki itu memang jenis mudah kembung perut.

Jika perubahan itu tidak ketara atau sederhana, dia masih mampu mencapai ereksi dan dapat melakukan seks. Jika kembung perut amat ketara dan membuatkan perut senak, ereksi boleh lemah dan hilang ketegangan.

Cara terbaik untuk lelaki yang mengalami masalah seperti itu ialah dengan berjumpa doktor untuk menyelesaikan masalah ‘kembung perut’ atau dispepsia.

Apabila masalah itu diatasi, tetapi masih gagal untuk mencapai ereksi mencukupi, dia perlu menjalani rawatan masalah disfungsi erektil atau mati pucuk.

Kini dengan pelbagai ubat pelancar darah dan pengembang salur darah dalam zakar, masalah itu boleh diatasi.

Mustahak dapatkan ubat dari doktor dan bukan dari tabib atau sesiapa yang tidak bertauliah kerana kini terdapat pelbagai ubat kuat atau kopi kuat yang mengandungi racun dan kimia perosak kesihatan.

Malah, berurut bukan jalan menyelesaikan masalah kembung perut dan mati pucuk. Ia boleh memberatkan lagi keadaan jika bahagian diurut itu disalah taksir kerana tidak membuat pemeriksaan badan dan lantas diurut tanpa mengetahui masalah sebenar.

Saya syorkan anda bawa suami berjumpa doktor atau dirujuk kepada pakar jika masalah kembung perut itu tidak selesai.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

 Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Monday 9 June 2014

BOLEH HAMIL WALAUPUN MASIH DARA (SAKIT TUAN)

 
Selagi ada punca air, selagi itu sperma itu mampu bergerak


ADAKAH akan terjadi kehamilan sekiranya saya menggosok permukaan faraj pasangan menggunakan jari yang berkemungkinan terdapat air mani?

Zuhaili
Muar, Johor


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

AIR yang keluar dari faraj atau air mani yang keluar dari zakar lelaki akan bercampur aduk dan membolehkan sperma berkeliaran masuk ke faraj apabila ia bertemu. Ini kerana, selagi ada punca air, selagi itu sperma itu mampu bergerak.

Jadi, tidak hairan jika wanita yang masih dara boleh hamil jika air mani pasangan lelaki hanya dipancut di luar permukaan faraj kerana sperma ini mampu berenang selagi wujud bendalir biarpun sedikit.

Sama juga situasi apabila air mani yang dirembeskan ke dalam mulut seseorang. Jika air mani bercampur air liur itu diletakkan di permukaan faraj, maka ia boleh menyebabkan kehamilan walaupun seseorang itu masih dara.

Berdasarkan senario ini, jika jari anda terdapat air mani, adalah tidak mustahil pasangan anda untuk hamil.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Sunday 8 June 2014

KESAN SUNTIKAN CEGAH HAMIL (SAKIT PUAN)

 
Penyakit darah tinggi lebih kerap dalam kalangan wanita berusia terutama jika pernah mengalami darah tinggi sewaktu hamil


SAYA baru saja melahirkan anak kedua secara vakum kerana mengalami darah tinggi yang bacaannya mencecah 177. Selepas habis pantang, doktor menyarankan saya mengambil suntikan untuk mencegah kehamilan sebanyak tiga kali, berselang tiga bulan.

Apabila anak saya mencecah usia setahun, saya mengambil keputusan untuk menghentikan suntikan kerana darah tinggi saya sudah stabil. Kali terakhir saya menerima suntikan pada Januari awal tahun ini dan hingga kini, tiada tanda saya didatangi haid.

Malah saya risau berat badan saya naik mendadak sedangkan saya jarang makan. Jika ada rezeki, saya ingin melahirkan anak lagi memandangkan umur saya sudah meningkat. Apakah pandangan doktor mengenai hal ini?

Runsing,
Selangor


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

SAYA pasti doktor anda ada menerangkan mengenai kemungkinan kesan sampingan suntikan pencegah kehamilan supaya anda tidak bimbang jika mengalaminya. Selain itu, sudahkah anda menjalani pemeriksaan atau ujian kemungkinan anda hamil?

Apa yang anda alami dahulu adalah krisis darah tinggi yang boleh menyebabkan trauma serius kepada anda dan seterusnya bayi. Anda semestinya sudah menjalani pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah berkaitan darah tinggi kerana ada kemungkinan anda membawa penyakit itu.

Anda tidak menyatakan usia anda. Penyakit darah tinggi lebih kerap dalam kalangan wanita berusia terutama jika pernah mengalami darah tinggi sewaktu hamil. Jika tiada penyakit, anda perlu juga menjalani pemeriksaan sebelum hamil bagi menganalisa risiko anda sewaktu hamil kelak.

Semakin kita berusia, kadar pembakaran tenaga kita semakin menurun, maka berat tubuh kita lebih mudah meningkat.

Apakah yang anda maksudkan anda jarang makan? Adakah anda makan mengikut jadual kerana ini lebih sihat berbanding sebaliknya? Adakah anda melakukan senaman fizikal berkala?

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Thursday 5 June 2014

BIMBANG LEWAT DATANG BULAN (SAKIT PUAN)


Sekiranya lapisan endometrium sangat nipis, pemberian ubat yang mengandungi bahan progestin saja untuk menurunkan haid lazimnya tidak berjaya

SAYA berumur 36 tahun yang melahirkan anak secara pembedahan enam bulan lalu namun hingga kini, saya masih belum didatangi haid.

Untuk pengetahuan doktor, saya melahirkan anak pertama juga secara pembedahan kira-kira 13 tahun lalu tetapi selepas sebulan, saya sudah didatangi haid.

Saya sudah berjumpa doktor dan diberikan ubat. Dua minggu selepas itu, saya belum didatangi haid dan saya tidak hamil. Saya cukup risau, adakah keadaan sedemikian merbahaya?

Puan Lisa,
Kuala Lumpur


Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

BAGAIMANAKAH kitaran haid anda dalam masa enam bulan sebelum kehamilan terakhir itu? Adakah anda masih menyusukan bayi dengan susu badan sepenuhnya? Adakah anda mempunyai simptom atau petanda lain?

Adakah anda mengalami sakit seperti senggugut untuk beberapa hari dalam sebulan kitaran? Bagaimanakah dengan pembedahan atau kelahiran itu, adakah bermasalah? Adakah anda mengalami pendarahan berpanjangan selepas itu?

Seeloknya anda berjumpa kembali doktor yang melakukan pembedahan ataupun berjumpa pakar sakit puan berhampiran. Sekiranya anda tidak mempunyai petanda tambahan, lazimnya pemeriksaan fizikal tidak menjumpai apa-apa keabnormalan.

Imbasan ultrabunyi ke atas rahim dan ovari dapat memberi jawapan. Bagaimanakah ukuran ketebalan lapisan endometrium yang membentuk haid serta apakah corak atau cirinya?

Sekiranya lapisan ini sangat nipis, pemberian ubat yang mengandungi bahan progestin saja untuk menurunkan haid lazimnya tidak berjaya. Ujian darah juga dapat membantu, lazimnya ujian hormon termasuklah hormon prolaktin (hormon penyusuan), hormon tiroid dan seumpamanya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Wednesday 4 June 2014

AMBIL ASID FOLIK SEBULAN SEBELUM HAMIL (SAKIT PUAN)


Pengambilan asid folik hendaklah dimulakan apabila wanita berhasrat untuk hamil

SAYA ingin tahu mengenai pengambilan asid folik. Ia difahamkan baik untuk wanita hamil dan persediaan untuk hamil.

Tetapi adakah sebarang jumlah maksimum untuk kandungan pil asid folik yang perlu diambil seseorang itu? Adakah sebarang kesan sampingan jika seseorang terlebih mengambil asid folik?

Rahmah,
Johor Bahru, Johor


 Sudah Bertunang? Ingin Berkahwin? Klik Disini!

DOS minimum asid folik bagi wanita yang ingin hamil adalah 400 mikrogram atau mcg (0.4miligram atau mg). Terdapat dua jenis persediaan pil asid folik; sama ada 400 mikrogram (0.4mg) ataupun 5mg.

Selain itu, asid folik juga ada terdapat dalam kandungan multivitamin dalam dos berbeza yang lazimnya kurang daripada dos minimum 400 mcg yang diperlukan itu.

Memandangkan asid folik bersifat larut air, kandungan berlebihan lazimnya akan dibuang melalui air kencing. Mengambil dos 5mg itu sememangnya berlebihan tetapi masih tidak mendatangkan mudarat. Saya tidak pasti sama ada mengambil dos lebih daripada itu mendatangkan masalah serta mengapa perlu mengambul dos lebih daripada 5mg.

Pengambilan asid folik hendaklah dimulakan apabila wanita berhasrat untuk hamil kerana ia seelok-eloknya diambil sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil, malah sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil bagi wanita yang bayinya pernah mengalami kecacatan sistem saraf tunjang (tiub neural). Untuk dewasa juga, asid folik elok untuk kesihatan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

 Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!